Search This Blog

Thursday 1 December 2011

Bahasa Melayu dalam Zaman Melaka

Zaman yang penting bagi bahasa Melayu ialah zaman kerajaan Melaka , iaitu zaman keagungan kerajaan Melayu . Keagungan kerajaan Melayu Melaka cukup jelas tergambar dalam Sejarah Melayu , satu-satunya magnum opus yang mengharumkan serta meletakkan imej bahasa Melayu ke mercu yang amat tinggi . Zaman ini bermula pada abad ketiga belas yang merupakan zaman peralihan bagi daerah Asia Tenggara secara keseluruhannya . Pada masa itu agama Islam mula bertapak , serentak dengan kebangkitan kuasa kerajaan Melayu Melaka . Percantuman dua semangat baharu membawa erti yang besar bagi masyarakat wilayah ini . Bahasa Melayu menjadi alat penyebaran agama Islam , satu agama yang tinggi darjah kebudayaannya .
Kerajaan Melayu Melaka telah tewaske tangan Portugis dalam tahun 1511 . Tetapi ini tidak bererti hilangnya pengaruh bahasa Melayu , kerana walaupun orang-orang Eropah makin menguasai daerah kepulauan Melayu , kedudukan bahasa Melayu tetap kekal .
Satu bukti tentang tingginya martabat bahasa Melayu dan luas penggunaannya di wilayah ini adalah pada surat-menyurat antara pentadbir dan raja-raja di kepulauan Melayu . Contohnya ialah surat Sultan Aceh kepada kapitan Inggeris , James Lancester , dalam tahun 1601 , surat Sultan Alaudin Shah dari Aceh kepada Harry Middleton (kira-kira 1602 ) dan surat Sultan Aceh kepada raja Inggeris ,King James ( 1612 ) . Ketiga-tiga surat ini ada tersimpan di perpustakaan Bodleian , London
Sumber : Tatabahasa Dewan , Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment